Assalamualaikum
Seperti yang kita tahu, ilmu itu merupakan cahaya, dan ianya tidak akan
memasuki hati-hati yang gelap. tetapi kita lihat, kawan kita yang tak
solat, sebaliknya berjudi, minum arak, berzina dan melakukan bermacam
maksiat tapi masih boleh berjaya, sedangkan kita terkial-kial walaupun
sudah berusaha sedaya upaya. Kita tahu bahawa, siapa yang berbuat baik,
taat kepada ALLAH akan dipermudahkan jalan kehidupannya, tetapi kita lihat,
kawan kita ini tidak solat, tetapi bisnesnya menjadi, kita pula hidup
dengan penuh cabaran dan dugaan.
Kita juga tahu bahawa, ISLAM ini agama yang benar, tetapi kita sering
melihat orang-orang yang bukan ISLAM itu lebih berjaya, dan ummat ISLAM
tertindas dalam kehidupan sempit lagi derita.Orang bertanya kepada saya.
Kenapa begitu? Sekarang ini, yang manakah benar? Adakah kita faham selama
ini tidak benar? Maka saya hendak bertanya kepada anda. Adakah anda tahu
apa itu istidraj?
Istidraj ini adalah satu kalimah, yang sering menunjuk kepada keadaan
seseorang itu yang terus dilimpahkan rezeki dan kejayaan yang melimpah ruah
dalam kehidupannya, walaupun dia bukan hamba ALLAH yang taat, malah seorang
pembuat maksiat yang tegar. Kenapa mereka ini dinamakan manusia yang
mendapat istidraj? Apakakah maksud istidraj?
Istidraj adalah, apabila ALLAH memberikan kejayaan, harta kekayaan, rezeki
yang melimpah ruah untuk manusia itu menjadi lebih jauh dariNya.
Biasanya, manusia yang mendapat istidraj ini adalah mereka yang tidak
berusaha menjalankan ISLAM dalam kehidupan, juga tidak berusaha mengenali
ALLAH SWT.
Contoh manusia yang mendapat istidraj ini banyak. Saya bagi contoh yang
paling mudah. Salah seorang darinya adalah Qarun. Apakah anda kenal kepada
Qarun? Dia ini adalah seorang manusiayang teramat kaya. Diriwayatkan
bahawa, kotak yang mengisi anak kunci kepada gedung-gedung
perbendaharaannya tidak mampu diangkat oleh orang-orang yang kuat. Hal ini
hendak menyatakan betapa kayanya dia.
Kisah Qarun terdapat di dalam Al-Quran. Hartanya melimpah ruah. Segala
perniagaannya menjadi. Segala pelaburannya mengembang. Hartanya makin hari
makin bertambah, sedang yang bertambah semalam tidak pula luak digunakan.
Tetapi bila Nabi Musa cuba mengingatkannya berkenaan semua kekayaannya itu
datang daripada ALLAH, maka Qarun dengan angkuh menjawab,
“ Tidak, semua ini adalah hasil dari ilmuku”
Lihat apa kata Qarun. Tidak, semua ini adalah hasil dari… ILMUKU. Dia nyata
semakin jauh dari ALLAH, walaupun kekayaannya menjadi, rezekinya melimpah
ruah dan sebagainya. Dia saban waktu memperlekehkan pengikut-pengikut nabi
Musa yang terdiri dari orang miskin dan hamba.
Apakah pengakhiran Qarun? Dia akhirnya ditenggelamkan ALLAH ke dalam bumi
dengan seluruh hartanya. Kisah ini terdapat di dalam Al-Quran.
Nah… Apakah itu yang kita mahu?
Sebab itulah, saya hendak mengajak saudara-saudari berfikir, apakah yang
akan timbul di dalam hati kalian apabila kalian ini jenis yang melazimi
dosa-dosa, melakukan maksiat, kemudian kalian berjaya di dalam peperiksaan
atau perniagaan. Apakah yang agaknya akan timbul dalam jiwa kalian?
Saya yakin, 99% akan merasa begini, “ Tengok, aku tak solat pun berjaya.
Siapa kata solat tu bawa kejayaan?”
Apakah yang akan terjadi kepada anda ketika itu? Anda berjaya, tetapi anda
langsung lupa bahawa yang memberi kejayaan adalah Allah SWT , dan ini
buktinya ada semakin jauh dari ALLAH. Itulah istidraj.
Maka jangan gusar bila tidak berjaya. Cuba lagi. Hubungan keimanan anda
dengan ALLAH itulah yang pertama sekali perlu anda perhatikan. Jika anda
berjaya membina hubungan keimanan yang baik, insyaALLAH, datanglah badai
apa sekalipun, anda akan mampu melaluinya.
Sebenarnya ALLAH suka menguji hamba-hambaNya yang beriman. Terdapat satu
kisah yang saya suka baca ketika saya masih kecil.
Terdapat dua orang nelayan. Seorang penyembah berhala, dan seorang lagi
muslim yang taat kepada ALLAH. Ketika menebar jala, yang menyembah berhala
menyebut nama berhalanya, manakala yang muslim membaca bismillah. Bila jala
diangkat, nelayan yang menyembah berhala mendapat banyak ikan, manakala
nelayan yang muslim, hampir sahaja tiada ikan untuknya pada hari itu.
Malaikat yang melihat keadaan itu bertanya kepada ALLAH.
“ Ya ALLAH, apakah yang telah berlaku? HambaMu yang menyekutukanMu, KAU
berikan dia rezeki yang banyak, sedangkan hambaMu yang menyebut namaMu, KAU
tidak memberikan DIA apa-apa”
ALLAH menjawab,
“ Yang menyekutukanKu, tempatnya memang sudah pasti NERAKA. Maka apalah
sangat rezeki yang pasti akan hancur itu jika Kuberikan kepadaNya? Tetapi
HambaKu yang beriman itu, AKU hendak mengganjarkanNya syurga, maka AKU suka
mengujinya untuk melihat kebenaran imanNya”
Nah, jangan anda kecewa bila diuji, tidak berjaya di dalam peperiksaan
walau sudah study ? Gagal dalam perniagaan walau hebat menyusun strategi.
Kita bantu ramai orang, tapi orang menzalimi kita pula. Itu semua adalah
sebahagian dari ujian ALLAH. ALLAH menguji hanya untuk mereka yang
dikasihi. Bukankah ALLAH SWT ada berfirman,
“ Apakah kamu mengira KAMI akan membiarkan kamu berkata kami beriman
sedangkan kamu belum diuji?…”
Jika gagal terhadap satu-satu perkara, itu perkara itu. Anda masih belum
gagal dalam kehidupan. Teruskan usaha, selagi nyawa masih ada. InsyaALLAH
ALLAH akan memberikan sesuatu yang bermakna kepada anda. Bersangka baiklah
kita kepada PENCIPTA kita.
Maka sebenarnya, bila hidup kita digegarkan dengan masalah, hendaklah kita
rasa bersyukur. Tandanya, ALLAH masih lagi dekat dengan kita. Ujian adalah
tanda kasih sayang dan perhatianNya kepada kita.
Mustahil anda suka senang sebentar di dunia, di akhirat yang kekal abadi
nanti anda merana. Anda mahukan istidraj?
Saya yakin tidak... Anda tenang sekarang?
Anda wajib untuk tidak berasa tenang jika anda berbuat dosa, dan anda
berjaya. Sebab itulah, muhasabah diri itu penting. Untuk kita sentiasa
periksa bagaimanakah hubungan kita dengan ALLAH SWT.
Wassalam
5 weeks ago
0 comments:
Post a Comment